6/16/2012

Lintasan

Aku membuka mata. Silau. Lampu kalimantang di atas siling masih terpasang. Kipas siling berputar perlahan. Terasa seperti kaki aku dikuis-kuis sesuatu. Aku lihat, seekor kucing tengah sedap hingga tertutup-tutup mata menggesel-geselkan kepalanya di kaki aku. Celaka. Tuk! satu libasan kecil ke kepala kucing bertompok oren. Ia terjatuh ke lantai lalu menjeling ke arah aku yang masih berbaring di atas katil. Jelingannya tajam, telinganya bergoyang-goyang. Auff! Auff! Auff! kucing bertompok oren itu menyalak dengan kuat seperti anjing sebelum berlari masuk ke bawah katil. Dahiku berkerut. Fucking apa kucing berbunyi anjing? Aku bingkas melompat dari katil dan membongkok melihat ke arah bawah katil mencari kucing bertompok oren. Namun bawah katil aku kosong. Kucing bertompok oren dengan suara anjing ghaib di bawah katil. Yang ada hanya satu kotak kasut jenama converse berwarna biru.  Aku menarik nafas panjang. Barangkali itu hanyalah khayalan dalam kemamaian.

Tekakku berasa kering. Lidah rasa kurang sedap. Rasa kelat. Aku melupakan perihal kucing bertompok oren itu lalu menuju ke pintu bilik berona coklat. Memulas tombol pintu yang terasa sejuk di telapak tanganku. Pulas! Pulas! Pulas! Pintu bilik terkunci. Ganjil. Ini ganjil. Dalam keadaan baru bangun tidur selepas dikejutkan seekor kucing bersuara anjing yang tiba-tiba ghaib di bawah katil, aku masih mampu berfikir dengan logik. Orang gila mana yang pasang pintu dengan tombol pintu yang terbalik. Maksud aku, tombol pintu ini dikunci dari luar. Bukankah sepatutnya dari dalam? Pulas! Pulas! Pulas! Aku menggaru-garu dahiku memandang pintu bilik berona coklat. Memandang ke sekeliling bilik. Katil, almari, meja dan kipas siling. Semua berada dalam posisi yang sama seingat aku. Katil memang berada di situ, terhimpit ke dinding bilik bercat putih. Almari berdiri bertentangan dengan katil. Meja kecil yang menempatkan buku-buku novel tidak berubah dari posisi asal. Malah buku-buku di atasnya tetap tersusun rapi. Dan kipas siling tetap berada di siling. Mana mungkin kipas siling berada di dinding mahupun di lantai. Hanya pintu ini sahaja yang berbeza. Tombol pintunya maksud aku. Rona warna pintu ini masih serupa seperti kali terakhir aku melihatnya sebelum aku tidur semalam. Pulas! Pulas! Pulas!

Aku mengambil keputusan untuk mengetuk pintu bilik itu setelah berfikir beberapa detik. Walaupun aku merasakan perbuatan mengetuk pintu dari dalam bilik itu adalah perbuatan yang tidak masuk akal. Sepatutnya, pintu diketuk dari luar. Tok! Tok! Tok! Aku ketuk tiga kali. Tiada jawapan. Ah! kerja bodoh. Siapa juga yang mahu menjawab ketukan pintu bilik aku ini bilamana aku sebenarnya tinggal berseorangan di apartment ini? Pulas! Pulas! Pulas! Darahku jadi mendidih. Dam! Dam! Dam! Pintu bilik itu aku hentak. Tombolnya aku pulas dan tarik entah buat kali yang keberapa. Babi!

Aku menghela nafas panjang. Cuba bertenang dan mencapai jam tangan digital yang ada di meja. Jam 1.11 am? Keningku sedikit terjungkit melihat paparan jam. Termenung seketika. Jam itu mati. Tiada detikan. 1.11 am. Semalam, paparan terakhir yang aku lihat di jam itu sebelum menuju baring di katil, 12.11 am. Tepat selang sejam, jam itu mati. Aku menuju ke arah tingkap bilik. Menyelak tabir biru yang sedikit kusam. Dan di situ mata aku terbeliak. Tiada tingkap. Hanya dinding simen yang berwarna putih. Seperti tindakan refleks, kakiku  berundur beberapa langkah dengan pantas hingga aku terjatuh ke lantai bilik marmar oren. Aku jadi hilang fikiran menatap dinding yang dilitupi tabir tingkap. Aku memejam mata erat-erat. Ini mimpi..ini mimpi..ini mimpi.. Bukan..ini bukan mimpi. Aku segera bangun dan mencapai tombol pintu bilik itu semula. Pulas! Hentak! Pulas! Hentak! Sia-sia. 
"Hoi!! Celaka! Buka pintu ni," aku menjerit sekuat hati. Tiada jawapan. Aku merapatkan telinga aku ke pintu. Sunyi, tiada bunyi yang kedengaran di luar. Tiada jalan lain, aku menerajang pintu bilik itu dengan kuat. Braam!! Tiada hasil. Aku berundur tiga langkah dari pintu. Menarik nafas dalam lalu dengan pantas melanggar daun pintu itu dengan keras. Brammm!! Pintu itu akhirnya terbuka luas. "Fu...cking shit!!' aku tiba-tiba jadi gelabah. Angin dingin laju bertiup menyapa tubuhku. Tanganku lekas berpaut pada bingkai pintu dengan erat. Jantungku berdegup kencang.Mata ku terpaku melihat ke bawah. Jauh...dan tinggi! Seperti aku berdiri di atas menara KLCC. Bukan..bukan KLCC. Ini lebih tinggi  dari KLCC.

"A..aku..di mana?" Di muka pintu itu, pandanganku menuju ke arah bawah, kiri dan kanan. Seperti aku berada di sebuah pergunungan atau pun banjaran. Dan pandanganku termati menatap langit yang ada dua bulan. "Oh..my god!"

Tiada ulasan: